بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Rasa macam CT nak bercerita cerita legenda dahulu kala pula bila CT nak cerita Mitos Kacang Soya ni. Jangan tak tahu, kacang soya pun ada mitosnya tersendiri yang mungkin ada diantara kita yang tidak tahu, mahupun tidak peduli. Kita perlu ambil tahu tentang mitos kacang soya ni sebab ada beberapa fakta yang mungkin telah menjadi salah faham di dalam diri kita selama ini.
Tidak dinafikan, kacang soya banyak digunakan dalam bentuk susu, kicap, tauhu, tempe dan sebagainya disebabkan kandungan protein yang berkualiti tinggi serta vitamin, mineral dan serat yang terkandung di dalamnya. Soya juga dikatakan sumber protein yang lengkap kerana mengandungi semua asid amino yang tidak dapat dihasilkan oleh tubuh. Soya juga mengandungi asid lemak omega 3 dan omega 6 serta soya tidak mengandungi kolesterol dan mengandungi sangat sedikit kandungan lemak tepu berbanding daging. Soya dikatakan dapat membantu mengurangkan penyakit jantung koronari, osteoporosis dan juga beberapa jenis kanser, dan terdapat beberapa bukti klinikal menyokong kenyataan ini.
Mitos 1 : Semua produk kacang soya adalah terhasil daripada organisma yang telah diubahsuai secara genetik (GMO, Genetically Modified Organisms)
Tidak dinafikan ada kacang soya yang terhasil daripada GMO yang bertujuan untuk menjadikan pokok kacang soya lebih kebal terhadap racun serangga dan racun rumpai, namun masih terdapat kacang soya yang tidak melalui proses GMO. Ini dapat dilihat pada label produk atau makanan tersebut samada ianya 'Organik' ataupun 'made from non-GMO soybean (diperbuat daripada kacang soya non-GMO)'.
Perbezaan GMO dan non-GMO.
Mitos 2 : Kacang soya meningkatkan risiko barah payudara
Mungkin kenyataan ini agak menakutkan bagi orang perempuan tapi nanti dulu, baca selanjutnya dahulu.
Kacang soya mahupun produk makanan berasaskan soya kaya dengan fitoestrogen iaitu bahan kimia yang mempunyai ciri-ciri hormon estrogen tetapi diambil daripada tumbuhan. Disebabkan keistimewaan fitoestrogen, para saintis telah manfaat mahupun mudarat kepada manusia termasuklah daripada sudut pencegahan penyakit dan juga kesan terhadap penyakit lain.
Mengenai manfaat pengambilan fitoestrogen oleh orang yang normal, kajian menunjukkan terdapat kemungkinan pengambilan kacang soya mengurangkan risiko kanser prostat dan perut (bukti tidak cukup kuat). Kadar kematian akibat kanser prostat dan kanser payudara di kalangan orang Asia didapati lebih rendah, berkemungkinan pengambilan produk soya adalah tinggi. Walaubagaimanapun, disebabkan bukti yang tidak cukup kuat, pertubuhan kanser dunia tidak mengesyorkan pengambilan supplemen yang mengandungi protein soya yang telah diasingkan dan kapsul isoflavone untuk lelaki dan wanita yang sihat untuk mencegah kanser.
Mengenai pengambilan fitoestrogen oleh orang yang menghidap kanser, kajian banyak dilakukan terhadap penghidap kanser payudara dan didapati keputusan adalah bercanggah. Namun ada kajian menunjukkan tiada kesan negatif terhadap pesakit kanser payudara apabila diambil dalam kadar sederhana.
Jadi, dapatlah dikatakan pengambilan makanan berasaskan soya dan lain-lain sumber fitoestrogen dalam keadaan semulajadi tidak memudaratkan, malah memberikan manfaat kesihatan selagimana ianya diambil dalam kuantiti sederhana dan yang disyorkan.
Sebenarnya, fitoestrogen boleh ditemui di dalam tumbuhan dan makan yang lain, tidak terhad hanya terdapat di dalam kacang soya sahaja. Para saintis mendapati terdapat banyak jenis fitoestrogen dan setiap satunya mempunyai ciri-ciri yang berbeza serta ada kalanya bertentangan di antara satu sama lain mengikut keadaan. Misalnya fitoestrogen berkemungkinan dapat mengurangkan risiko kanser prostat dan usus, mengurangkan gejala menopaus, mengurangkan risiko penyakit osteoporosis dan ada yang mendakwa boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.
Kandungan fitoestrogen di dalam beberapa jenis makanan :
Mitos 3 : Kandungan fitoestrogen di dalam kacang soya merencat fungsi kelenjar tiroid
Kalenjar tiroid adalah kalenjar yang terletak di bahagian bawah leher dan menghasilkan hormon tiroksin yang penting di dalam metabolisma darah. Hormon tiroksin sintetik diambil oleh individu yang mengalami masalah hormon tiroksin yang rendah yang dikenali sebagai hypotiroidisma.
Terdapat dakwaan yang mengatakan kacang soya menggangu fungsi kalenjar tiroid dan merencat penyerapan hormon tiroid sintetik. Walaupun tiada kajian besar yang berwibawa dilakukan untuk menyangkal dakwaan ini, didapati hanya peratusan kecil pesakit yang mengalami gejala klinikal hypotiroid apabila mengambil produk makanan mengandungi soya.
Sebenarnya tiada halangan untuk pesakit hypotiroid untuk mengambil makanan berasaskan soya, asalkan mereka mengambil ubat tiroksin dan iodin yang mencukupi dan tetap serta disyorkan untuk menunggu selama 4 jam selepas mengambil ubat tiroksin sebelum mengambil makanan tersebut. Bagi individu normal, kacang soya tidak mengganggu fungsi kalenjar tiroid.
Mitos 4 : Soya boleh menyebabkan lelaki memiliki ciri-ciri keperempuanan
Walaupun kacang soya mengandungi fitoestrogen, ini tidaklah bermakna seorang lelaki itu memiliki ciri-ciri keperempuanan seperti memiliki buah dada yang besar, suara bertukar menjadi lembut dan sebagainya kerana kandungannya rendah serta tindak balasnya jauh lebih rendah daripada tindak balas estrogen yang dihasilkan oleh tubuh manusia. Kesan gangguan hormon ini mungkin dapat dikesan jika soya mahupun supplemen fitoestrogen diambil secara berlebihan seperti meminum sehingga 3 liter air soya, walaupun ianya pernah dilaporkan namun kesannya akan hilang apabila individu tersebut berhenti mengambil air soya.
Sebenarnya, di dalam diri seorang lelaki yang normal memang terdapat hormon estrogen, iaitu apabila hormon lelaki, hormon testosterone dapat ditukarkan kepada hormon estrogen di tisu lemak. Tidak ada bukti pengambilan produk kacang soya secara sederhana menggangu peredaran hormon di dalam badan seorang lelaki, malah terdapat bukti yang menunjukkan pengambilan produk kacang soya secara sederhana dapat mengurangkan risiko kanser prostat di kalangan orang lelaki.
Mitos 5 : Susu formula berasaskan soya mengganggu pertumbuhan dan perkembangan reproduktif kanak-kanak
Di pasaran, terdapat susu formula yang berasaskan soya isoflavone yang mengandungi fitoestrogen yang seringkali diberikan kepada kanak-kanak yang mengalami alahan terhadap susu lembu. Terdapat kebimbangan bahawa fitoestrogen mengganggu pertumbuhan kanak-kanak dan perkembangan reproduktif kanak-kanak serta imuniti kanak-kanak. Setakat ini kebimbangan ini tidak berasas dan hanya berdasarkan teori semata-mata. Terdapat kajian yang disiarkan di Jurnal Pediatrics yang membandingkan perkembangan bayi yang diberikan susu formula berasaskan soya, berasaskan susu lembu dan susu ibu, mendapati tiada gangguan terhadap pertumbuhan bayi-bayi ini sehingga berumur satu tahun. Kajian terhadap wanita dan lelaki yang berumur 20 hingga 34 tahun yang pernah diberikan susu formula berasaskan soya mahupun berasaskan susu lembu mendapati tiada perbezaan daripada segi ketinggian, berat badan, usia akil baligh, kesihatan mahupun kesukaran untuk hamil.
Keseluruhannya, pengambulan makanan yang berasaskan soya secara sederhana tidak memberikan kemudaratan malahan terdapat bukti ianya dapat mengurangkan risiko kanser, mengurangkan gejala menopaus serta membaiki sistem salur darah wanita yang menopaus. Tiada bukti pengambilan produk makanan soya oleh individu normal mengganggu hormon lelaki, hormon estrogan, mengganggu fungsi tiroid dan menyebabkan terjadinya kanser. Pengambilan susu formula yang berasaskan soya oleh bayi dan kanak-kanak juga tidak menunjukkan kesan negatif kepada pertumbuhan fizikal serta fungsi reproduktif bayi dan kanak-kanak.
Walau apa jua makanan yang diambil, seeloknya ianya diambil dalam keadaan sederhana dan sepertimana yang disyorkan kerana apa makanan sekalipun, jika ianya diambil secara berlebihan, memberikan kesan buruk kepada tubuh badan manusia itu sendiri.
Rujukan :
1. http://www.todaysdietitian.com/newarchives/040114p52.shtml
2. https://dribnusina.blogspot.my/2017/02/kacang-soya-mudarat-atau-manfaat.html
0 comments:
Post a Comment